Apa Itu Shopee Instant Delivery? Cara Guna & Syarat Penghantaran

Shopee Instant Delivery: Beli Hari Ini, Barang Sampai Dalam Beberapa Jam

Kalau sebelum ini beli barang di Shopee biasanya kena tunggu satu, dua atau beberapa hari untuk sampai, sekarang ada satu lagi pilihan penghantaran yang jauh lebih pantas iaitu Shopee Instant Delivery.

Sesuai sangat untuk situasi bila kita perlukan sesuatu barang dengan cepat tetapi malas atau tak sempat keluar rumah mencarinya. Kalau seller berada berdekatan dan produk tersebut menyokong Instant Delivery, barang yang dibeli boleh sampai pada hari yang sama.


Instant Delivery by Shopee


Apa Itu Shopee Instant Delivery?

Shopee Instant Delivery merupakan perkhidmatan penghantaran point-to-point di mana barang akan diambil terus daripada seller dan dihantar kepada pembeli menggunakan rider ShopeeFood.

Menurut Shopee, sejak 18 November 2025, pesanan yang layak boleh diterima dalam tempoh sehingga 4 jam selepas pembayaran dibuat pada hari yang sama, tertakluk kepada waktu operasi seller. Waktu penghantaran terakhir pula adalah sehingga jam 9 malam.

Maksudnya, konsepnya lebih kurang macam kita order makanan melalui aplikasi. Bezanya kali ini rider datang mengambil barang yang kita beli daripada seller Shopee sebelum menghantarnya terus ke rumah.


Macam Mana Nak Cari Barang Yang Ada Instant Delivery?

Tak semua barang di Shopee mempunyai pilihan Instant Delivery.

Cara paling mudah adalah dengan menggunakan fungsi Filter ketika mencari barang di Shopee.

Selepas membuat carian:

  1. Tekan Filter.
  2. Pilih Instant Delivery.
  3. Tekan Apply.
  4. Pilih barang yang kita mahu.
  5. Semasa checkout, periksa sama ada pilihan Instant Delivery tersedia.

Shopee hanya menawarkan pilihan ini kepada produk dan seller tertentu.

Jadi kalau pilihan Instant Delivery tak keluar dekat checkout, bukan semestinya ada masalah dengan aplikasi Shopee.

Kemungkinan produk tersebut memang tidak menyokong Instant Delivery ataupun lokasi seller terlalu jauh daripada alamat kita.


Kawasan Mana Yang Ada Shopee Instant Delivery?

Ini antara bahagian yang menarik.

Shopee menyatakan Instant Delivery kini mengikuti kawasan liputan ShopeeFood dan tersedia di semua negeri di Malaysia kecuali Labuan.

Bagaimanapun, jarak antara pembeli dan seller masih memainkan peranan. Sekiranya alamat pembeli berada di luar kawasan liputan ataupun lebih daripada 30 km daripada seller, pilihan Instant Delivery mungkin tidak akan dipaparkan.

Jadi kalau nampak dua seller menjual barang yang sama tetapi hanya seorang mempunyai Instant Delivery, kemungkinan lokasi seller tersebut lebih dekat atau produknya memang telah diaktifkan untuk penghantaran Instant.


Barang Apa Yang Boleh Guna Instant Delivery?

Ada juga beberapa syarat untuk produk yang menggunakan penghantaran ini.

Antaranya, berat maksimum barang ialah 10 kg, manakala saiz maksimum ialah 40 cm × 40 cm × 40 cm.

Shopee turut menyatakan produk mestilah ready stock dan memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan untuk Instant Delivery.

Beberapa kategori barang pula memang tidak dibenarkan menggunakan penghantaran ini, termasuk barangan berbahaya, bahan mudah terbakar, bateri lithium-ion yang boleh ditanggalkan, barang beku yang memerlukan kawalan suhu dan beberapa kategori larangan lain.


Apa Itu Shopee Instant Delivery? Cara Guna & Syarat Penghantaran
Dapat Item dalam beberapa jam sahaja


Boleh Track Rider Macam ShopeeFood?

Ya, boleh.

Selepas rider mengambil parcel daripada seller, pembeli boleh melihat pergerakan rider secara real-time melalui aplikasi Shopee.

Caranya pergi ke:

Me → To Receive → pilih pesanan Instant Delivery → Track Driver Location

Jadi kita boleh tengok perjalanan barang daripada seller sehinggalah rider menghantarnya ke rumah.

Bagi saya, fungsi seperti ini memang berguna untuk penghantaran segera sebab kita tahu bila rider sudah ambil barang dan boleh agak bila perlu bersedia untuk menerima pesanan.


Bila Instant Delivery Sangat Berguna?

Instant Delivery mungkin bukan sesuatu yang kita perlukan untuk setiap pembelian.

Tetapi ada situasi tertentu yang membuatkan fungsi ini cukup praktikal.

Contohnya kita tiba-tiba perlukan kabel charger, barang keperluan rumah, aksesori telefon atau sesuatu barang pada hari yang sama.

Daripada keluar mencari kedai satu persatu, kita boleh cuba cari di Shopee dan aktifkan filter Instant Delivery.

Kalau ada seller berhampiran yang menjual barang tersebut, buat pembayaran dan tunggu sahaja rider menghantarnya.

Ia membuatkan Shopee bukan lagi sekadar platform untuk membeli barang yang kita sanggup tunggu beberapa hari, tetapi juga boleh menjadi pilihan untuk mendapatkan sesetengah barang dengan lebih segera.


Tapi Ada Beberapa Perkara Kena Tahu

Walaupun namanya Instant Delivery, ia tidak bermaksud setiap pesanan pasti tiba dalam beberapa minit.

Shopee menetapkan penghantaran sehingga 4 jam selepas pembayaran, tertakluk kepada waktu operasi seller dan kelayakan pesanan.

Pilihan Instant Delivery juga mungkin berbeza mengikut lokasi, seller dan produk.

Jika tiada sesiapa berada di lokasi untuk menerima barang sehingga menyebabkan penghantaran gagal, Shopee menyatakan parcel akan dipulangkan kepada seller. Untuk penghantaran yang gagal, pembeli akan menerima bayaran balik penuh.

Sebab itu kalau menggunakan Instant Delivery, sebaiknya pastikan ada orang di alamat penghantaran untuk menerima barang.


Kesimpulan

Secara keseluruhannya, Shopee Instant Delivery memang satu fungsi yang menarik, terutamanya untuk mereka yang mahukan barang pada hari yang sama tanpa perlu keluar rumah.

Konsepnya mudah: cari produk yang menyokong Instant Delivery, buat pesanan, seller sediakan barang dan rider ShopeeFood akan mengambil serta menghantarnya terus kepada kita.

Cuma pilihan ini masih bergantung kepada lokasi pembeli, jarak dengan seller serta jenis produk yang dibeli.

Kalau sebelum ini kita buka Shopee dengan mindset “order hari ini, tunggu beberapa hari”, sekarang untuk sesetengah barang mungkin sudah boleh tukar kepada:

“Order sekarang, petang nanti barang dah sampai.”

Previous Post Next Post

Contact Form