Thursday, February 15, 2018

Kosmetik Bernotifikasi Belum Tentu Selamat?


Persoalannya kenapa sistem notifikasi bukan sistem pendaftaran seperti produk ubat? 

Sebenarnya dari tahun 2002 hingga 2007, produk kosmetik dikawal melalui sistem pendaftaran. Namun bermula 1 Januari 2008, sistem ini digantikan dengan sistem notifikasi selaras dengan SKIM HARMONISASI KOSMETIK ASEAN dengan menggunapakai dan melaksanakan ASEAN Cosmetic Directive (ACD). Dengan ACD, semua negara ASEAN bersetuju melaksanakan Sistem Notifikasi sebagai sistem kawalan kosmetik untuk negara ASEAN.

Kosmetik Bernotifikasi Belum Tentu Selamat?
Kosmetik Bernotifikasi Belum Tentu Selamat? 

Bermaksud bukan Malaysia sahaja menggunakan Sistem Notifikasi, tetapi semua negara ASEAN juga menggunakannya malah ada negara Eropah juga sama.

Ini juga menerangkan kenapa nombor notifikasi tidak diwajibkan dilabelkan pada produk kosmetik? Kerana ketetapan di bawah ACD.

Produk kosmetik yang bernotifikasi tidak bermaksud produk tersebut telah diluluskan oleh KKM! Ia hanya sekadar pengisytiharan syarikat kosmetik berkenaan maklumat produk kepada NPRA sebelum dipasarkan.

Jika di peringkat pengisytiharan ini, syarikat kosmetik tersebut menipu NPRA, maka produk yang menipu lah yang berada dalam pasaran. Ia bukan sekadar pengguna ditipu, KKM juga ditipunya pun adoi!


Bagaimana NPRA nak kesan produk penipu ini?

Melalui Program Pengawasan Mutu Produk Kosmetik Bernotifikasi. Sebab itu wujudnya sidang akhbar yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan KKM yang menyenaraikan kosmetik yang ditarikbalik notifikasinya kerana pelanggaran syarat-syarat notifikasi. Sidang akhbar ini adalah juga ketetapan di bawah ACD.


Bagaimana pula founder menyatakan bahawa produk mereka yang ditarikbalik adalah produk fake atau palsu?

Jika panadol palsu, ia hanya sekadar tablet tepung sahaja. Tidak mengandungi apa-apa bahan aktif untuk keuntungan yang berlipat ganda. Maka amat mustahil kosmetik dikatakan palsu tetapi mengandungi merkuri di dalamnya. Memasukkan merkuri di dalam kosmetik tersebut sudah pasti meningkatkan kos pengeluaran kosmetik tersebut.

Pendapat saya insan kerdil ini (pendek la jugak), sistem notifikasi adalah menitiberatkan SELF-REGULATORY. Syarikat pengeluar kosmetik BERTANGGUNGJAWAB memastikan produk kosmetik mereka SELAMAT dan BERKUALITI.

Maka pesanan buat semua pengguna kosmetik, pilihlah syarikat kosmetik yang berkredibiliti dan berintegriti tinggi. Jika telah ada produk mereka mempunyai sejarah yang buruk, BOIKOT sahaja syarikat ini. INILAH HAK DAN KUASA PENGGUNA. Gunakanlah...

Pada tahun 2015 sahaja, terdapat lebih kurang 145,000 produk kosmetik bernotifikasi di pasaran Malaysia! Janganlah jadi seperti digembar - gemburkan perihal wanita, pakaian sealmari penuh, tetapi menyatakan tiada pakaian yang boleh dipakai hari ini.

Sumber : www.myhealth.gov.my/kawalan-produk-kosmetik-di-malaysia/

Kenyataan Akhbar KPK 24 Jan 2016:Kawalan Kosmetik di Malaysia