Saturday, December 9, 2017

Perlu ke makan ubat cacing setiap tahun?

Perlu ke makan ubat cacing setiap tahun?

Bilakah kali terakhir anda mengambil ubat cacing? Pasti ramai yang mengaku pernah mengambil ubat cacing semasa kanak-kanak. Penggunaan ubat cacing adalah perkara yang lazim dalam kalangan kanak-kanak berbanding orang dewasa. Namun, adakah penyakit cacing hanya menjangkiti kanak-kanak sahaja?  

Sebenarnya, penyakit cacing ini boleh menjangkiti kanak-kanak dan juga orang dewasa. Jangkitan cacing boleh berlaku melalui makanan apabila seseorang itu termakan telur cacing yang berada di dalam makanan dan sayur-sayuran yang tidak dimasak sempurna

Selain itu, jangkitan cacing juga boleh berlaku melalui kulit kepada mereka yang mengabaikan kebersihan diri dan persekitaran. Amalan tidak membasuh tangan dengan bersih sebelum makan; tidak memakai selipar ketika keluar rumah serta tidak membasuh tangan setelah menyentuh haiwan peliharaan turut menyebabkan jangkitan cacing melalui kulit berlaku.

Jangkitan cacing yang paling biasa adalah cacing gelang (round worm), cacing kerawit / cangkuk (hook worm), cacing benang (thread worm) dan cacing pita (tape worm). Seseorang pesakit mungkin dijangkiti lebih daripada satu jenis cacing kerana kebanyakan cacing hidup dan membiak dalam keadaan tanah yang sama. 

Cacing-cacing yang masuk ke dalam badan manusia akan bersaing untuk mendapatkan nutrien yang diserap daripada makanan. Keadaan ini turut menyebabkan tubuh mengalami kekurangan zat makanan. Perkara ini akan menganggu tumbesaran dan perkembangan fizikal terutamanya dalam kalangan kanak-kanak yang dijangkiti. 

Jangkitan cacing yang tidak dirawat dan dibiarkan berada dalam tubuh tanpa disedari akan memberikan kesan yang berbahaya. Dalam keadaan yang serius, jangkitan tersebut boleh merebak ke organ lain seperti otak, hati dan paru-paru. Walau bagaimanapun, bukan semua jangkitan cacing itu berbahaya. Rawatan dan pencegahan awal harus dipertimbangkan demi kesihatan dan kualiti hidup. 

Perlu ke makan ubat cacing setiap tahun?
http://www.azlindaalin.com/

Contoh ubat cacing 

Antara contoh ubat dalam pasaran yang biasa digunakan dalam rawatan jangkitan cacing adalah albendazole, mebendazole dan sebagainya. Kebiasaannya albendazole adalah ubat yang digunakan untuk merawat masalah ini terutamanya di fasiliti kerajaan. Ubat ini kurang diserap ke dalam badan dan ianya tinggal di dalam usus. Ia bertindak dengan menghalang penyerapan glukosa oleh cacing dan menyebabkan cacing-cacing tersebut kehilangan tenaga dan mati. 

Terdapat dua bentuk dos bagi albendazole dalam pasaran iaitu suspension (cecair) dan tablet. Biasanya tablet tersebut boleh dikunyah atau ditelan bergantung kepada formulasi syarikat pengeluar. Selain itu, bagi membantu memudahkan pesakit terutamanya kanak-kanak untuk mengambil ubat ini, ianya didatangkan dengan pelbagai perisa buah-buahan seperti oren, strawberi, pisang dan juga coklat. 

Kebiasaannya, dos albendazole yang disyorkan bagi orang dewasa dan kanak-kanak yang berumur 2 tahun ke atas adalah 400mg dos tunggal. Manakala bagi kanak-kanak yang berumur antara 1 hingga 2 tahun, 200mg diberikan secara dos tunggal bergantung kepada keadaan pesakit. Perlu diingatkan bahawa ubat cacing ini tidak boleh diambil oleh wanita yang mengandung dan bayi yang berumur kurang daripada 1 tahun. 

Orang awam dinasihatkan untuk rujuk kepada doktor sekiranya keadaan jangkitan cacing adalah luar biasa atau serius supaya rawatan yang berkesan dapat diberikan. Jenis ubat, dos dan tempoh pengambilan ubat akan diberikan oleh doktor bergantung kepada keadaaan pesakit. 

Berikut merupakan beberapa langkah yang boleh diamalkan untuk mencegah jangkitan cacing: 

  1. Tingkatkan kebersihan diri dan persekitaran dengan membasuh tangan dengan sempurna terutama di celah dan di bawah kuku sebelum makan dan setiap kali masuk ke dalam rumah. Selain itu, gunakan kasut atau selipar semasa berada di luar rumah. 
  2. Tingkatkan kebersihan semasa penyediaan dan pengambilan makanan. Makanan berunsurkan daging dan ikan perlu dimasak dengan sempurna. Basuh sayur dan buah-buahan sebelum dimakan. 
  3. Bagi mereka yang mempunyai haiwan peliharaan, jalankan deworming dan gunakan sarung tangan semasa membersihkan sisa tinja haiwan peliharaan. Basuh tangan setiap kali selepas menyentuh haiwan tersebut. 

Jika terdapat sebarang kemusykilan atau pertanyaan berkaitan penggunaan ubat-ubatan, orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre-NPCC) di talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat jam 8.00 pagi - 5.00 petang) untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Disediakan oleh : 
Farah Norashiyqin bt Abdul Halid
Pegawai Farmasi, Bahagian Perkhidmatan Farmasi Negeri Perlis.