Sunday, February 19, 2017

Virus Lebih Dahsyat Daripada Perang Nuklear

Virus yang diolah secara genetik sangat mudah dicipta dan mampu membunuh lebih ramai mangsa berbanding senjata nuklear, namun tiada satupun negara di dunia bersedia menghadapinya.

Pengasas Microsoft, Bill Gates, memberi amaran kepada pemimpin dunia tentang keganasan biologi tersebut pada Sabtu sewaktu menyampaikan ucapan dalam Persidangan Keselamatan Munich, lapor Washington Post.

Bill Gates




“Epidemik seterusnya mempunyai peluang yang besar untuk dicipta dari skrin komputer.

“Sama ada hasil ciptaan semula jadi atau dalam tangan pengganas, penularan virus sebegitu boleh membunuh puluhan juta manusia pada masa akan datang, kecuali jika kerajaan-kerajaan bersedia menghadapi epidemik ini sama seperti kita bersedia dalam peperangan,” ujarnya.

Tiada seorang pun dalam panel persidangan tersebut yang mempertikaikan kata-kata Gates.

“Penyakit dan keganasan mengorbankan nyawa sebelum ini dalam jumlah yang tidak begitu banyak, namun ia merebak dengan pantas, Kita terlupa betapa dahsyat bencana epidemik tersebut,” kata Perdana Menteri Norway, Erna Solberg.

Solberg memetik peristiwa ‘Black Death’, yang pernah mengorbankan lebih daripada separuh populasi negaranya dan mencetus kemelesetan selama 200 tahun di Eropah.

Pengarah Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Peter Salama juga menzahirkan kebimbangannya: “Ia bukan soal ‘jika’, tetapi ‘bila’ perkara ini boleh berlaku sekali lagi. Kita perlu tingkatkan kesediaan kita.”

Gates yang mengasaskan Bill & Melinda Gates Foundation bersama isterinya pada tahun 2000, khuatir terhadap kemampuan dunia untuk menyekat pandemik berbahaya sejak wabak Ebola membunuh ribuan mangsa dua tahun lalu.
“Saya bimbang tentang peralatan biologi yang boleh digunakan oleh pengganas biologi. Peralatan yang sama sebenarnya digunakan untuk tujuan yang membawa kebaikan.

“Kini sangat mudah untuk mencipta strain selesema baharu dengan menggabungkan versi yang pantas merebak dengan versi yang pantas membawa maut. Tidak seperti perang nuklear, penyakit tersebut tidak akan berhenti membunuh sejurus dia terlepas,” kata Gates.

sumber dari Awani