Marrowbone: Misteri Rumah Lama dan Rahsia Empat Beradik

Marrowbone merupakan filem misteri psikologi yang dikeluarkan pada tahun 2017 serta  ditulis dan diarahkan oleh Sergio G. Sánchez. Filem berdurasi kira-kira 110 minit ini dibintangi oleh George MacKay, Anya Taylor-Joy, Charlie Heaton, Mia Goth dan Matthew Stagg.

Filem ni berbeza dengan filem seram lain yang penuh dengan hantu muncul secara tiba-tiba. Filem ini jenis slow burn dalam masa yang sama bermain dengan psikologi seseorang ditambah pula misteri rumah lama dan rahsia keluarga yang cuba bertahan hidup bersama.  


Adik beradin keluarga Marrowbone


Sinopsis Marrowbone

Kisahnya bermula apabila Rose membawa empat orang anaknya Jack, Billy, Jane dan Sam meninggalkan England untuk memulakan kehidupan baharu di rumah lama milik keluarganya di kawasan terpencil di Maine, Amerika Syarikat.

Mereka cuba melupakan masa lalu dan menggunakan nama keluarga Marrowbone. Untuk seketika, kehidupan mereka kelihatan tenang. Mereka juga berkawan dengan Allie, seorang gadis tempatan yang kemudiannya menjadi rapat dengan Jack.

Namun, ketenangan itu tidak bertahan lama. Selepas ibu mereka meninggal dunia, adik-beradik Marrowbone terpaksa merahsiakan kematian tersebut kerana bimbang pihak berkuasa akan memisahkan mereka. Jack sebagai abang sulung perlu menjaga semua adiknya sehingga dia cukup umur untuk menjadi penjaga mereka secara sah.

Dalam masa yang sama, mereka mula diganggu oleh satu kehadiran misteri di dalam rumah. Cermin-cermin ditutup, bunyi pelik kedengaran dan sebuah ruang di tingkat atas seolah-olah menyimpan sesuatu yang sangat menakutkan.

Persoalannya, adakah rumah itu benar-benar berhantu atau ada rahsia lain yang cuba disembunyikan oleh keluarga Marrowbone?


Seramnya Bukan Sekadar Hantu

Perkara yang menarik tentang Marrowbone ialah filem ini tidak bergantung sepenuhnya kepada jump scare. Ada beberapa babak yang boleh membuatkan kita terkejut, tetapi kekuatan sebenarnya terletak pada suasana muram dan misteri yang dibina sedikit demi sedikit.

Rumah besar yang didiami oleh mereka memainkan peranan penting dalam menghasilkan rasa seram. Ruangnya kelihatan sunyi, suram dan seolah-olah mempunyai sejarahnya sendiri. Setiap bunyi dari tingkat atas atau pantulan pada cermin membuatkan kita tertanya-tanya tentang perkara sebenar yang sedang berlaku.

Walaupun kelihatan seperti kisah rumah berhantu, Marrowbone sebenarnya lebih dekat kepada drama keluarga dan trauma psikologi. Ceritanya banyak menyentuh tentang kasih sayang antara adik-beradik, ketakutan kehilangan orang tersayang serta usaha seseorang untuk melindungi keluarganya walaupun dirinya sendiri sedang terluka.


Barisan Pelakon Yang Menarik

George MacKay membawa watak Jack, abang sulung yang memikul tanggungjawab besar selepas kematian ibunya. Wataknya kelihatan tenang di luar, tetapi jelas menyimpan tekanan dan ketakutan yang berat.

Charlie Heaton sebagai Billy pula lebih berani dan mudah memberontak, manakala Mia Goth membawa watak Jane yang lembut tetapi sentiasa mengambil berat tentang keluarganya. Matthew Stagg melakonkan Sam, adik paling kecil dan paling polos dalam keluarga tersebut.

Anya Taylor Joy pula muncul sebagai Allie, satu-satunya orang luar yang rapat dengan keluarga Marrowbone. Kehadirannya memberi sedikit kehangatan kepada cerita yang kebanyakannya terasa suram dan penuh rahsia.

Melihat semula filem ini juga agak menarik kerana beberapa pelakonnya kini lebih dikenali menerusi karya lain. Namun, gabungan mereka dalam Marrowbone terasa sesuai kerana hubungan antara adik-beradik itu kelihatan rapat dan meyakinkan.


Jalan Cerita Agak Perlahan

Secara jujurnya, bahagian awal dan pertengahan filem ini mungkin terasa perlahan bagi penonton yang mahukan aksi atau gangguan seram tanpa henti. Banyak masa digunakan untuk memperkenalkan hubungan antara watak serta menaburkan petunjuk kecil.

Ada ketika kita mungkin tertanya-tanya ke mana sebenarnya cerita ini mahu dibawa. Namun, petunjuk yang kelihatan biasa pada mulanya mula mempunyai makna apabila kisah sebenar semakin terbongkar.

Sebaiknya tonton filem ini tanpa mencari terlalu banyak maklumat tentang jalan ceritanya. Tarikan utama Marrowbone terletak pada rahsia yang disimpan sehingga ke bahagian akhir. Jika sudah mengetahui kejutan besarnya lebih awal, kesan ceritanya mungkin tidak lagi sama.


Bukan Filem Seram Yang Terlalu Menakutkan

Jika dinilai sebagai filem seram biasa, Marrowbone mungkin tidak cukup menakutkan untuk sesetengah penonton. Hantunya tidak sentiasa muncul dan filem ini juga tidak dipenuhi adegan berdarah.

Namun, jika korang sukakan cerita misteri yang perlahan, suasana rumah lama dan pengakhiran yang membuatkan kita menilai semula babak-babak sebelumnya, filem ini memang boleh ditonton. Rasa sedih yang ditinggalkan oleh kisahnya mungkin lebih kuat daripada rasa takut.


Kesimpulan

Marrowbone bukan sekadar kisah empat beradik yang bersembunyi di dalam sebuah rumah berhantu. Di sebalik misterinya, filem ini membawa cerita tentang keluarga, trauma, kesunyian dan keinginan untuk terus bersama walaupun selepas melalui pengalaman yang sangat menyakitkan.

Jalan ceritanya mungkin perlahan dan unsur seramnya tidak terlalu berat, tetapi suasana serta rahsia yang disimpan berjaya membuatkan filem ini terasa menarik hingga ke penghujung. Bahagian akhirnya pula boleh membuatkan kita tergamam dan sedih gila sambil cuba menyusun kembali semua petunjuk yang telah diberikan.

Kalau korang sukakan filem seperti The Others atau cerita seram yang mempunyai unsur drama dan kejutan pada penghujungnya, Marrowbone boleh dimasukkan dalam senarai tontonan korang

Penilaian peribadi: 8/10

Previous Post Next Post

Contact Form