Jangan jadi manusia syaitan kerana mahu lariskan produk

"JANGAN JADI MANUSIA SYAITAN!" Bagus tajuk ini hasil penulisan Abdullah Bukhairi Abdul Rahim Al-Hafiz (Pesyarah Jabatan Tilawah Al-Quran, Pusat Bahasa UIAM).

Artikel ini khas buat PARA PENJUAL PRODUK dan saya gandingkan artikel ini dengan pengisian Khutbah Jumaat 27 Januari 2017 yang lalu bertajuk "Eksploitasi Agama Demi Habuan Dunia".

Bacalah artikel dan slide Khutbah Jumaat ini wahai para penjual produk beragama Islam. Inilah yang saya risaukan dan saya mahu terus memberi nasihat agar netizen, mahupun rakan-rakan saya yang menjual produk kesihatan agar berhati-hati.

Jangan jadi manusia syaitan kerana mahu lariskan produk

Jangan sampai terjerumus melakukan penipuan demi melariskan produk malah lebih teruk lagi jika menggunakan Agama untuk melariskan produk kesihatan jualan anda.

Ustaz Abdullah Bukhairi dalam artikelnya menyatakan betapa bezanya "sifat amanah, profesional & pengetahuan anggota professional kesihatan yang belajar bertahun-tahun ilmu perubatan berbanding khutbah penjual ubat ajaib yang berguru sebulan dua lantas menjadi pakar perubatan dalam semua bidang"

Kata ustaz Abdullah Bukhairi;
"Para pesakit buntu dan tersepit, akhirnya terperdaya dengan kalam manis beracun si penjual ubat. Lalu para pesakit berhabis harta membeli ubat yang bukan ubat pun untuk sakit mereka. Adakah mereka (penjual ubat) ingat tindakan itu tiada audit dosa-pahala, syurga-neraka di sisi Allah?"

Marilah kita berfikir sejenak. Bagi yang menjual produk kesihatan dengan tuntutan yang melampau dan anda sendiri tidak pasti....apa yang telah anda lakukan? Anda tidak tajut diaudit Allah? Hanya kerana mahukan habuan atau keuntungan di dunia ini sanggup anda menjadi penipu kepada golingan pesakit tang berharap?

Kata ustaz Abdullah Bukhairi;
"Jenayah mereka (penjual ubat) sebenarnya sudah bercabang tiga iaitu menganiaya pesakit, menipu pesakit dan menyusahkan para doktor. Adakah mereka (penjual ubat) ingat tindakan itu tiada audit dosa-pahala, syurga-neraka di sisi Allah?"

Nasihat ustaz Abdullah Bukhairi;
"Kepada para penjual ubat di luar sana, jangan memandai, kerana anda tidak akan menjadi pandai dengan memandai-mandai"

Bagi yang menggunakan Agama bagi tuan menjual produk juga telah dinasihatkan dalam khutbah jumaat yang saya lampirkan bersama-sama posting ini. Boleh juga baca posting fb Dr Suhazeli Abdullah berkaitan makanan sunnah untuk pemahaman lebih;

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10213140821968499&id=1033106371

Ustaz pun melihat dan sedar fenomena ini...mengapa masih ramai netizen yang terperdaya malah bagaikan terpukau dengan janji manis penjual produk.

Jika bukti kami anggota professional kesihatan berasaskan kajian saintifik dan klinikal bukti penjual ubat ajaib pula berasaskan testimoni kampungan dengan bau suam-suam saintifik.

Nasihat saya kepada para netizen, pesakit dan anak-anak yang masih ada ibu-bapa...jangan mudah percaya iklan produk kesihatan di media sosial mahupun iklan promosi yang disebarkan di "Whatsapp".

Elakkan terus membeli. Sabar dahulu. Produk tersebut tidak lari  kemana-mana. Ambil masa untuk semak kesahihan produk kesihatan tersebut dan kesahihan iklan promosi atau tuntutan khasiat sesuatu produk kesihatan itu.

Bagi masa dalam seminggu dua. Bertanya kepada yang ahli. Bukan tanya kepada penjual kerana sudah pasti mereka berat sebwlah terhadap produk jualan mereka. Bertanya kepada profesional kesihatan yang tidak menjual produk dan yang lebih penting lagi jika sudah ada penyakit, buncang dahulu niat untuk ambil apa-apa produk kesihatan dengan doktor yang merawat.

Moga para penjual ubat ajaib dan suplimen kesihatan insaf dan bertaubat. Sama-sama lah kita menjaga masyarakat dan komuniti kita daripada golongan "Manusia Syaitan" ini.

Assalamualaikum

Pegawai Farmasi Anda
Mohd Dziehan Mustapa
Medical Mythbusters Malaysia (M3)