Thursday, May 11, 2017

SimetriSiti Album Terbaru Dari Siti Nurhaliza

TAHUN ini genap 21 tahun penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, menghiburkan peminat dengan koleksi lagu rancak, mendayu dan menyentuh jiwa. Penyanyi baru datang dan pergi namun figura ini kekal unggul ‘di kerusinya’ sendiri.

Lebih istimewa, legasi muzik pemilik nama lengkap Siti Nurhaliza Tarudin ini tidak hanya bertumpu di negara sendiri, malah pesonanya jauh memancar ke luar negara, Lagu bintang yang berasal dari Pahang dan mesra disapa Siti ini kekal malar segar dan menjadi siulan peminat.

Namun tarikh 5 Mei lalu menjadi satu lagi saksi terindah dalam perjalanan seninya apabila album studio ke-18 Siti, SimetriSiti dilancarkan dalam sebuah majlis eksklusif di Hotel Royal Chulan tepat jam 3.30 petang. Menganggap SimetriSiti adalah naskah istimewa, tapi Siti tetap berdebar menantikan respons peminat.

Lebih mengujakan, 300 unit album terawalnya yang dijual di portal membeli-belah Lazada, sudah habis dalam masa kurang 20 minit!

SimetriSiti Album Terbaru Dari Siti Nurhaliza
SimetriSiti Album Terbaru Dari Siti Nurhaliza

Impian direalisasikan, istimewa buat peminat

Naskhah SimetriSiti  sudah lama dinantikan selepas Fragmen pada 2014 dan  penyanyi ini berharap  album berkenaan dapat memberi kejayaan serupa seperti album sebelum ini..

“Untuk SimetriSiti misalnya, saya cuba beri sebaik mungkin terutama pemilihan lagu. Susunan muziknya juga saya beri kepercayaan kepada semua krew terlibat di dalam pembikinan album ini dan harapnya semua berpuas hati.

“Dalam album baru ni ada impian yang berjaya direalisasikan. Antaranya mahu nyanyikan lagu Opick dan sebuah lagu duet bersama Judika.

“Malah lima lagu di dalam SimetriSiti juga diiringi orkestra luar negara yang jadi sandaran pada kelainan dan keunikan  album ini,” katanya kepada Media Hiburan.

Tambah Siti, kelainan tersebut merupakan satu pencapaian baru buat dirinya secara peribadi.

Sebuah persamaan dalam satu album


SimetriSiti, kata Siti adalah satu komitmen dalam misi untuk memberikan yang terbaik untuk peminat.

“Jika Fragmen lebih kepada personal, namun kali ini saya cuba utamakan konsep persamaan dalam segala hal, semua kena bagus. Perlu tekankan kualiti.

"Begitu juga untuk pembikinan cover album dan muzik videonya, Alhamdulillah, saya happy dengan outcomenya” ujar Siti yang turut mengakui agak sukar memilih 10 lagu terbaik daripada 300 yang diterima.

Siti mengakui, pemilihan lagu dari karyawam Malaysia dan Indonesia ini mengambil masa lebih empat bulan. "Kami duduk semeja dan mendengar setiap lagu yang diterima tanpa mengetahui siapa menghasilkan lagu tersebut.

“Akhirnya, inilah lagu yang mempunyai vote paling tinggi," beritahu Siti yang tidak boleh menyembunyikan emosinya apabila bercerita mengenai lagu hasilan Opick/Dian berjudul Aku Bukan Malaikat yang katanya khas untuk wanita berjiwa sentimental sepertinya.

“Mujurlah Yasin Sulaiman yang jaga vokal untuk lagi tu, sebab saya sebenarnya agak sebak juga masa proses rakaman. Jadi kena cepat-cepat stabilkan diri,” seloroh bintang yang dilahirkan pada 11 Januari 1979 ini lagi.

Latar Belakang Album SimetriSiti

Pada November 2016, Datuk Siti Nurhaliza mendedahkan sebelum percutiannya selama 3 minggu, beliau meminta Aubrey Suwito untuk membuat pengumuman di laman Facebook beliau bagi mencari lagu baharu untuk album terbarunya. Sehingga November 2016, beliau telah menerima sebanyak penyertaan 300 lagu, termasuk dari penulis lagu Indonesia. Beliau mengulas mengenai pemilihan lagu tersebut: "Saya tidak terlalu memilih komposer baharu atau lama, apa yang penting ialah lagu tersebut mesti mudah diterima dan rancak. Namun, saya masih mementingkan kualiti gubahan muzik yang matang dan bagus."

Pada Januari 2017, beliau dilaporkan bakal muncul dengan album terbaharunya yang dijangka akan dilancarkan pada Mei 2017. Menurut Siti, beliau sememangnya mahu mencuba sesuatu yang berbeza dalam album yang dibarisi 10 lagu baharu itu. Dalam pada itu, Siti juga menyimpan hasrat untuk mengadakan siri jelajah Asia bagi bertemu dengan para peminatnya. Beliau juga dilaporkan memilih rakan artis dari Indonesia, Judika sebagai rakan duet terbaharunya. Pemilihan Judika sebagai penyanyi undangan dalam album solo terbaharu beliau dibuat bertitik tolak menerusi gandingan mereka berdua dalam sebuah persembahan sempena majlis Anugerah Planet Muzik tidak lama dahulu. Kolaborasi itu merupakan gandingan kali keempat Siti Nurhaliza bersama penyanyi lelaki ternama.  Sebelum ini, Siti pernah berduet dengan penyanyi Hafiz menerusi lagu "Muara Hati", Cakra Khan ("Seluruh Cinta") dan Faizal Tahir ("Dirgahayu").

Memulakan proses rakaman pada 7 Mac, Siti melunaskan tanggungjawab menghasilkan buah tangannya itu, baru-baru ini, biarpun berdepan dengan masalah kesihatan. Siti bersyukur kerana proses rakaman SimetriSiti dipermudahkan biarpun dalam kesihatan yang disifatkannya ‘turun naik’.

"Siti mahu abadikan lagu ciptaan sendiri kerana sudah lama tak berbuat demikian. Walaupun lama nak dapat idea, tetapi sekali datang ilham, sekejap saja lagu dihasilkan. Siti hasilkan lirik lagu ini dalam studio. Lagu ini juga agak istimewa dan diharap peminat teruja untuk menantinya,"
— Siti Nurhaliza mengulas mengenai album terbarunya.

Beliau memberitahu turut merakamkan lagu ciptaan sendiri berjudul "Penghiburku". Sebelum ini, Siti pernah mencipta lagu dan lirik berjudul "Hati Berbisik", "Intrig Cinta" dan "Cahaya Cinta".Menganggap album terbarunya itu sebagai buah tangan istimewa buat peminatnya, beliau yang telah berkecimpung dalam industri muzik hampir dua dekad menyifatkan SimetriSiti mewakili dirinya untuk berterima kasih kepada semua pihak yang menyokong kerjayanya selama ini. Dalam temuramah dengan Sinar Harian, Aubrey Suwito berkata, SimetriSiti dirakamkan dengan menggunakan sentuhan muzik orkestra oleh Orkestra Simfoni Radio Nasional Bulgaria.

Beliau berkata: "Saya akui melalui proses sukar bagi penghasilan album ini namun saya gembira kerana pemuzik orkestra dari Bulgaria mengganggap ia album yang bagus selain kagum dengan suara Siti," Aubrey telah diberi kepercayaan untuk mengarahkan projek album ini terdiri dari beberapa orang penerbit termasuklah Jenny Chin, Ade & Jeje Govinda, Mujahid Abd Wahab, Sze Wan, Firdaus Mahmud dan Opick. Untuk penerbit vokal pula termasuklah Yasin Sulaiman untuk lagu "Kisah Kuinginkan" dan "Aku Bukan Malaikat" dan Aubrey untuk lagu "Segala Perasaan".