Nasib Doktor keletihan Bekerja 32 jam Tanpa Henti

Semalam telah viral kemalangan maut melibatkan seorang petugas kesihatan akibat keletihan bekerja 32 jam tanpa henti. Ia bukan kes pertama dan ia berlaku berulangkali.

Nasib Doktor keletihan Bekerja 32 jam Tanpa Henti
Nasib Doktor keletihan Bekerja 32 jam Tanpa Henti
Anda tahu kenapa ia berulang?

Mereka ini bukan bodoh, bukan akal singkat. Mereka tahu tindakan mereka berbahaya, tapi ada beberapa perkara yang mendorong mereka untuk sanggup mengambil risiko seperti itu.

Individu-individu ini, kalau anda sedar, adalah mereka yang anda sering caci. Lambat, curi tulang, tak cekap, sombong, tamak, tak berhati perut dan bermacam-macam tuduhan berat yang lain. Bayangkan perasaan anda dicerca sebegitu rupa walaupun anda telah memberi yang terbaik. Ramai yang pasti melenting, tapi ada juga segelintir yang akan terdorong untuk berusaha lebih keras untuk membuktikan mereka bukan seperti yang didakwa.

Tidak hairanlah, jika ada petugas kesihatan yang sanggup ketepikan hak asasi mereka sebagai seorang manusia seperti rehat, tidur, makan dan ke tandas, hanya untuk memuaskan hati orang ramai. Nampak seperti tindakan bodoh, tapi itulah expectation masyarakat terhadap mereka. Mereka rela jadi bodoh, daripada menjadi bahan cacian dan hinaan. Ingat, mereka juga ada harga diri, ada air muka untuk di jaga.

Dah tahu penat, kenapa pandu pulang juga?

Mereka pun berkeluarga, ada tanggungjawab sebagai ahli keluarga. Takkan pula nak hidup di hospital sepenuh masa. Nanti dilabel pula lelaki dayus, bini tak guna, anak derhaka, menantu tak boleh harap dan sebagainya. Jadi, mereka ingin lunaskan expectation ahli keluarga juga.

Anda mungkin tak percaya kata saya, tapi inilah hakikatnya. Saya tahu kerana saya sebahagian daripada mereka. Mereka yang ketepikan diri sendiri untuk mendahulukan orang lain.

Saya kepilkan gambar pengalaman saya sendiri berhadapan dengan maut ketika dalam perjalanan pulang ke rumah setelah shift lebih 24jam di Jabatan Pediatriks. Setelah keluar daripada kereta yang terbalik, hal pertama yang saya risaukan ialah tiga bungkus nasi ambang yang saya beli untuk ahli keluarga saya. Sedih saya lihat ia berterabur di atas rumput (kelihatan di dalam gambar). Masih sempat fikirkan tentang orang lain dan tak endahkan kecelakaan diri.

Kami begini kerana expectation anda. Anda minta, kami cuba tunaikan. Sebelum tidur baru kami fikir nasib diri. Esok pagi bangun tidur, kami kembali utamakan anda.

Apapun, takziah pada yang pergi. Saya pasti, beliau tenang, kerana tidak lagi akan dicemuh dan dihina. Malah beliau akan sentiasa diiringi doa, setidak tidaknya daripada ahli keluarga dan kami, rakan seperjuangan. Al-fatihah.

Dr. Kamarul Ariffin bin Nor Sadan
Pegawai Perubatan KKM
Kami Sedia Membantu

Edit: Maafkan kami jika kami tak dapat penuhi expectation kamu, kerana hanya itu kami termampu.

#kamisediamembantu