Tuesday, February 14, 2017

Buang kakitangan awam rendah Bukan Jalan Penyelesaian

kakitangan awam rendah - Putrajaya perlu membuang kakitangan berjawatan rendah sementara ia masih mampu membayar pampasan, gesa seorang bekas pegawai kanan kerajaan.

Bekas setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim memberi amaran saiz perkhidmatan awam semasa akan menimbulkan masalah sekiranya berlaku masalah kewangan, lapor The Star.

“Birokrasi kerajaan berkembang dengan begitu besar sehingga ia bukan sahaja mengambil terlalu banyak sumber tetapi juga mewujudkan banyak kegagalan dalam ekonomi kewangan kami,” kata Sheriff di forum berkenaan tadbir urus sektor awam.



Menurut Sheriff, perkhidmatan awam semasa mempunyai kira-kira 1.6 juta orang penjawat bermakna Malaysia mempunyai nisbah penjawat awam kepada penduduk yang terbesar di rantau Asia Pasifik.

Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani baru-baru ini berkata ketika ini terdapat kira-kira 1 orang penjawat awam untuk setiap 19.37 orang penduduk, menyebabkan perbelanjaan kerajaan bertambah.

Johari bagaimanapun berkata tiada rancangan untuk mengurangkan jumlah penjawat awam.

Beliau juga dilaporkan berkata kerajaan tahun lalu membelanjakan RM74 bilion untuk membayar penjawat awam, meningkat daripada RM22 bilion pada 2003.

Sheriff memberi amaran sebarang kelewatan mengecilkan perkhidmatan awam boleh mencetuskan keadaan seperti krisis kewangan Greece.

Pada 2015, ekonomi Greece yang kekurangan wang membawa kepada pembekuan gaji dan pencen penjawat awam.

Sheriff berkata pembuangan penjawat awam perlu dilakukan sekarang ini sementara Putrajaya masih mampu daripada melakukannya ketika kurang berkemampuan.

Beliau berkata Malaysia boleh mencontohi kaedah negara lain seperti Indonesia, yang memberi kuasa kepada pegawai kanan kerajaan untuk memecat kakitangan yang tidak berprestasi.