Juruterbang senyum tidak sensitif, kata keluarga mangsa MH370

Keluarga penumpang Malaysia Airlines MH370 membidas syarikat itu kerana memuat naik gambar 2 juruterbangnya tersenyum pada hari sama pencarian untuk pesawat yang hilang 3 tahun lalu itu diumumkan tamat selepas gagal ditemui.

Iklan kontroversi itu menunjukkan juruterbang kelihatan gembira di ruang kokpit sambil mengucapkan “Selamat pagi… Semoga anda menikmati penerbangan indah di mana-mana anda berada.”



Bagaimanapun, akhbar The Australian memetik keluarga mangsa MH70 yang mengatakan ia tidak sensitif, lebih-lebih lagi pada hari sama pencarian pesawat melibatkan Malaysia, Australia dan China itu ditamatkan.

“Ini sangat memalukan … Mungkin slogan itu sepatutnya mengatakan Malaysia Airlines menjanjikan penerbangan yang hebat tapi tidak menjamin penerbangan yang selamat,” kata Peter Weeks, yang kehilangan abangnya Paul, salah seorang daripada 239 penumpang dan anak kapal yang hilang bersama pesawat malang itu.

MH370 menuju Beijing dari Kuala Lumpur pada tengah malam 8 Mac, 2014, sebelum dilaporkan hilang daripada radar sejam kemudian.

Pencarian selama hampir 3 tahun bagaimanapun gagal membuahkan hasil, walaupun beberapa bangkai kapal terbang yang ditemui di pantai Madagascar disahkan milik pesawat tersebut.

Sementara itu, gambar juruterbang itu turut dikritik pakar psikologi dari Queensland, Paul Stevenson.

“Mencampur adukkan mesej komersil dan pengumuman tentang pemberhentian pencarian pesawat malang itu adalah menunjukkan ketidakprihatinan mereka terhadap keluarga penumpang,” katanya dipetik The Australian.

Kiriman Malaysia Airlines itu disiarkan beberapa jam sebelum kenyataan 3 negara yang terlibat dalam pencarian MH370.

Sementara itu, Malaysia Airlines mendakwa tidak menyedari kenyataan mengenai carian MH370 itu akan disiarkan pada hari yang sama.

sumber dari FMT